MEDELLIN, Colombia – Pihak berkuasa Colombia melakukan satu letupan terkawal kelmarin untuk memusnahkan bekas kubu raja dadah Pablo Escobar di Medellin.
Satu kumpulan seramai 1,600 orang termasuk beberapa waris keluarga mangsa-mangsa Escobar hadir menyaksikan letupan itu, sebelum waktu tengah hari, dan kediaman lapan tingkat berwarna kelabu itu runtuh ke tanah dengan kepulan debu menyelubungi udara selama beberapa minit.
Tapak itu akan digunakan untuk pembinaan satu taman memorial bagi mangsa-mangsa terbunuh dan pemerintahan kejam Escobar yang berakhir selepas raja dadah itu ditembak mati polis pada tahun 1993.
Beberapa kumpulan dalam masyarakat mengutuk langkah itu dengan mendakwa, ia memadamkan sejarah penting negara. Pihak berkuasa pula menegaskan bahawa mereka sedang ‘melakukan transformasi’ untuk memberi fokus kepada mangsa-mangsa berbanding penjenayah.
Langkah memusnahkan bangunan lambang kegemilangan Escobar itu, pada satu ketika pernah menarik perhatian ramai ‘menandakan’ kekalahan budaya haram, kata Presiden Colombia, Ivan Duque.
“Ia menandakan bahawa sejarah tidak akan ditulis daripada perspektif mereka yang melakukan perbuatan haram,” ujarnya.
Duque sempat membuat lawatan menerusi satu penerbangan ke tapak runtuhan itu sebelum menuju ke Cucuta, dekat sempadan Venezuela, bagi menghadiri konsert anjuran bilionair Britain, Richard Branson untuk mengumpul sumbangan kemanusiaan kepada penduduk Venezuela.
Escobar mungkin sudah mati tetapi Colombia masih kekal sebagai pengeluar kokain terbesar dunia, sebahagiannya ke Amerika Syarikat. – AFP
Medellin.










