KUALA LUMPUR 8 Feb. – Tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang pernah menyingkirkan Kuantan FA daripada saingan sepatutnya menjadi pengajaran buat semua pasukan bahawa pengelola bola sepak tempatan itu tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman keras terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan, termasuk dalam isu pembayaran gaji.
Biarpun kes yang dihadapi Kuantan FA bukan melibatkan isu gaji, sebaliknya kegagalan hadir dalam perlawanan Liga Perdana menentang PDRM di Shah Alam pada 15 April lalu, namun mesej yang cuba disampaikan MFL tetap sama – tidak berkompromi dengan pasukan yang melanggar peraturan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, sekatan kewangan, pemotongan mata atau menyingkirkan pasukan ke liga bawahan antara hukuman yang boleh dikenakan terhadap pasukan ingkar peraturan.
“Kita akan ambil pertimbangan dari segala sudut sebelum membuat keputusan, namun untuk menyatakan MFL terlalu berlembut adalah tidak benar kerana kita pernah menyingkirkan Kuantan FA ekoran melanggar peraturan.
“MFL juga boleh mengenakan sekatan kewangan, pemotongan mata atau menyingkirkan pasukan ke liga bawah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hari ini, Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai enam pasukan yang terlibat dengan tuntutan gaji pemain serta pegawai pasukan masing-masing.
Kelab Liga Super, Felda United mengetuai senarai tertinggi, diikuti PDRM, Perlis, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC.
The Fighters mencatat tungakan keseluruhan RM1.33 juta manakala PDRM RM90,000, Perlis (RM52,000), Kuantan FA (39,600), Hanelang FC (RM224,000) dan Terengganu City FC (RM239,000) menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM2 juta.










