PASIR GUDANG 20 FEB. – KOS sara hidup yang tinggi dan pembangunan pesat sekitar daerah ini menjadikan lebih 40 nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru di sini hidup dalam kesempitan.
Menurut Ithnin Bahrom, 61, pembangunan rancak sejak kira-kira lima tahun kebelakangan ini menjadikan laut tercemar sekali gus mengakibatkan hasil tangkapan berkurangan.

“Sebagai nelayan pesisir pantai, ini mengakibatkan kami terpaksa keluar mencari ikan di kawasan yang lebih jauh iaitu di Tanjung Pengelih kira-kira satu jam perjalanan dari sini.
“Hasilnya belum tentu kerana kadang-kadang tidak seberapa dan tidak dapat menampung kos turun ke laut. Ini menyukarkan hidup kerana hasil tangkapan dibuat lauk sahaja dan tidak dapat menjualnya untuk membeli barang dapur.
“Dalam keadaan harga barang yang mahal, kami hanya memperoleh RM1,000 ke RM1,300 sebulan berbanding 10 tahun dulu purata RM3,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di sini hari ini.
Rakannya, Hashim Putat, 62, berkata, mereka merupakan nelayan sepenuh masa dan tidak dapat melakukan kerja sampingan lain untuk menampung perbelanjaan dapur.
Katanya, biasanya jika tidak turun ke laut, dia akan membuat jaring di rumah dan usaha tersebut lebih menjimatkan berbanding membeli yang baharu atau mengupah orang membuatnya.

“Selain itu kita juga mengharapkan subsidi dan insentif kerajaan. Kami lega kerajaan baharu tidak menghapuskan bantuan sara hidup dan elaun untuk nelayan walaupun kini hanya mendapat RM200 berbanding pemberian kerajaan dahulu RM300,” katanya.
Azizi Mohd. Aziz, 52, pula memohon kerajaan supaya memberikan pinjaman kepada mereka untuk membeli enjin baharu dengan kuasa kuda lebih kuat bertujuan menangkap ikan di laut dalam.
Katanya, rata-rata nelayan tidak mampu kerana kos untuk sebuah enjin baharu paling murah RM20,000 serta harus dibeli secara tunai dan tidak boleh dibayar beransur-ansur.
Azrin Ramli, 47, berkata, ramai pihak menyangka kehidupan nelayan senang kerana harga ikan di pasaran mahal sedangkan hakikatnya tidak begitu dan mereka cukup-cukup makan sahaja.










