SUHU politik dalam Pakatan Harapan (PH) sejak seminggu dua ini agak menjengkelkan. Semua orang sudah berkata apa lagi yang tak kena dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kebanyakan kemelut dalaman melibatkan PH hanya tertumpu kepada mereka.
Terbaharu Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap dengan pendiriannya mahu melebarkan sayap parti itu ke Sabah walaupun sebelum ini sekutu mereka di Negeri di Bawah Bayu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkeras enggan menerimanya.
Ini kerana lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar UMNO pada Disember lalu, sudah menyerah borang keahlian menyertai Bersatu.
Dikatakan, akibat kekangan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengakibatkan mereka ini enggan menyertai parti itu dan memilih Bersatu demi kelangsungan politik mereka.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Bersatu mencapai persefahaman dengan Warisan yang parti itu tidak akan masuk ke Sabah, sebaliknya hanya menjadi rakan PH untuk mendapat sokongan rakyat Sabah.
Kini dikatakan sudah ada perbincangan secara tidak rasmi antara Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dengan Bersatu mengenai kerjasama yang boleh dibentuk antara mereka.
Bagaimanapun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin musykil bagaimana angka 100,000 bekas ahli UMNO mahu menyertai Bersatu diperoleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Sejak menang pilihan raya pada Mei lalu terlalu banyak “umpan dan perangkap” ditebarkan kepada ahli-ahli UMNO untuk menyertai Bersatu.
Walaupun banyak tekanan dan kecaman dari anggota komponen PH, dihalakan kepada Dr. Mahathir tentang kehendak parti itu supaya ahli UMNO terutama yang berjawatan agar menyertai Bersatu, namun beliau menolak mentah-mentah tekanan tersebut.
Memang ada kebenaran kenapa kehendak Bersatu itu ditolak. Bukan sahaja ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja menolak supaya ahli mereka menjadi pembelot kepada parti sendiri.
Malah ada rakan-rakan dalam PH yang lebih ekstremmenganggap ia sebagai tindakan mengutip sampah, kerana merasakan ia sebagai tindakan tidak bermaruah. Apatah lagi mereka melihat pembangkang mampu berdiri sendiri sebagai keperluan untuk check and balance.
Malah PH sebenarnya tidak perlu pun mengambil pembelot ini untuk memperkasakan pakatan itu.
Ini kerana jika mereka benar-benar bersungguh memenuhi segala janji yang dibuat semasa pilihan raya lalu, rakyat sebenarnya tidak ada masalah untuk terus menyokong mereka.
Kini yang jelas, Bersatu dilihat sebagai parti yang paling bermasalah dalam PH, sejak mula penubuhannya dan berterusan memberi masalah dalam komponen itu.
Memandangkan mereka hanya menang 13 kerusi sahaja pada PRU lalu, tekanan untuk menjadi parti dominan orang Melayu menjadi kekangan kelangsungan politik mereka dalam PH.
Oleh itu tidak menghairankan kenapa mereka begitu berdegil dan melanggar persefahaman yang dilakukan sesama komponen PH dan bertindak menerima bekas ahli UMNO dan tetap melebarkan sayap ke Sabah walaupun ditolak sekutu sendiri.
Sifat dan kelaku dominan mereka dalam PH memang menjengkelkan dan sudah sampai masanya PH perlu lebih tegas dan konsisten dengan pendirian mereka supaya lebih dihormati rakyat.
Cukuplah janji-janji yang gagal dipenuhi selepas PRU lalu, janganlah pula cuba menjadikan PH sebagai pakatan dominan satu parti yang keras kepala dan enggan menerima pandangan orang lain.
Mereka ini tidak ubah bersikap seperti UMNO sebelum ini yang dikatakan parti paling dominan dalam BN dan antara punca ditolak kebanyakan pengundi. Jika berterusan begini rakyat akan lebih muak dengan “jenaka” sebegini.
Ia mampu menyebabkan PH bakal kalah sebelum turun gelanggang pada PRU Ke-15 nanti kerana berterusan memberi bola tanggung kepada pembangkang.









