Kohijrah agih 8,000 kit pengurusan jenazah - Utusan Malaysia

Kohijrah agih 8,000 kit pengurusan jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 20 Feb. – Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) akan mengagihkan kira-kira 8,000 kit pengurusan jenazah ke surau, masjid dan hospital di negeri ini.

Pengurusnya, Mohammad Syukri Ismail berkata, menerusi program Infaq Kit Pengurusan Jenazah, ia melibatkan kos kira-kira RM1.5 juta dan dijadualkan selesai diagihkan pada tahun ini.

“Program ini adalah tanggungjawab sosial korporat dan ini menunjukkan pihak kami tidak hanya mengutamakan perniagaan yang berteraskan keuntungan semata-mata.

“Kit yang lengkap untuk pengurusan jenazah lelaki dan perempuan ini didatangkan pada harga yang lebih murah iaitu RM190 berbanding harga pasaran RM250,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Setiap kita mengandungi 20 barang kelengkapan pengurusan jenazah daripada proses mandian sehingga mengkafankan termasuk kain kapan, tali, minyak atar dan air mawar.

Mohamed Syukri menambah, mana-mana pihak yang berminat untuk turut serta dalam program berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghulurkan sumbangan serendah RM10.

“Apabila cukup, kit ini kemudiannya akan diserahkan kepada 407 masjid; 2,047 surau dan 10 hospital di seluruh Selangor.

“Kohijrah juga membuka peluang kepada orang ramai membeli kit ini sebagai kelengkapan sendiri atau ahli keluarga mereka pada masa akan datang,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Kohirah iaitu Affin Islamic Bank bernombor 105990040017. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN