Ketua Polis Negara setuju bayar ganti rugi RM25,000, saman Maria Chin selesai - Utusan Malaysia

Ketua Polis Negara setuju bayar ganti rugi RM25,000, saman Maria Chin selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kes saman bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Polis Negara dan dua lagi individu berhubung penahanannya secara salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) tiga tahun lalu, berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Maria, 63, selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad di sini yang kemudian merekodkan penghakiman persetujuan berkenaaan.

Gurdial Singh ketika ditemui selepas prosiding berkata, kes berkenaan berjaya diselesaikan selepas Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan dalam kes saman tersebut bersetuju membayar keseluruhan ganti rugi berjumlah RM25,000 termasuk faedah kepada Maria.

“Selain itu, kesemua defendan juga perlu membayar kos berjumlah RM5,000 sebagai penyelesaian penuh dan muktamad kes tanpa sebarang pengakuan terhadap liabiliti,” katanya.

Dalam prosiding itu, turut hadir Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan yang bertindak bagi pihak ketiga-tiga defendan.

Pada 6 Ogos tahun lalu, Maria yang juga Anggota Parlimen Petaling Jaya, menyaman Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan atas dakwaan menyebabkannya ditangkap, ditahan dan dipenjara secara salah di bawah SOSMA.

Dalam penyataan tuntutan, Maria mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA di pejabat Bersih pada 18 November 2016 dan barang-barangnya turut dirampas termasuk telefon bimbit, peralatan komputer dan beberapa dokumen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN