KUALA LUMPUR 23 Feb. – UMNO menafikan satu berita yang kononnya disiarkan portal UMNO Online menyatakan kepemimpinan tertinggi parti itu mahu menilai semula kerjasama dengan Pas.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, kenyataan yang kononnya diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO dan turut tular dalam media sosial itu palsu serta tidak benar sama sekali.
Sebaliknya kata Shamsul Anuar, kerjasama kedua-dua parti disifatkan sebagai sangat baik dan sangat mantap terutama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
“Berita itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang pastinya bimbang dengan kerjasama UMNO dan Pas yang sedang berjalan begitu baik. Malah, kenyataan berkenaan tidak pernah dikeluarkan oleh portal UMNO Online.
“Oleh itu, saya harap semua pihak terutamanya pengundi di Semenyih supaya tidak terpengaruh dengan berita palsu berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










