GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta yang mengundur sebelum kenderaan itu merempuh dinding sebuah rumah di kawasan Rumah Panjang Tanjung Tokong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Annur Sumayyah Syabandi meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke hospital kerana mengalami kecederaan parah.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut berada di belakang kereta itu di kawasan halaman sebuah rumah ketika kemalangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian berlaku apabila seorang wanita berusia 35 yang memandu kereta jenis Proton Saga dikatakan terpijak pedal minyak ketika mengundurkan kereta.
“Kereta itu kemudiannya melanggar kanak-kanak tersebut sebelum merempuh masuk ke halaman salah sebuah rumah.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak tersebut maut akibat kecederaan parah pada kepala.
Menurut Che Zaimani, pihaknya telah menahan pemandu kereta tersebut yang bekerja sebagai jurujual pasar raya bagi siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










