KUALA LUMPUR 16 Feb. – Konsep demokrasi membolehkan rakyat menukar kerajaan terutama jika gagal melaksanakan janji-janji yang dibuat sebelum pilihan raya.
Berdasarkan apa yang berlaku di Malaysia semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat memutuskan bahawa tiba masanya pembangkang mengambil alih kuasa lebih-lebih lagi banyak janji dibuat.
“Sekarang negara sedang memerhatikan ‘kerajaan pembangkang’ ini untuk melaksanakan janji-janji itu. Malangnya mereka (rakyat) mendapati mereka (kerajaan) tidak dapat melaksanakan banyak janji.
“Jadi kini bermula pusingan seterusnya menjatuhkan kerajaan,” katanya ketika berucap dalam program Festival Demokrasi 2019 di sini hari ini.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang dalam PRU-14 kini berdepan pelbagai kritikan ekoran beberapa janji-janji manifesto parti itu masih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Mengulas mengenai demokrasi dalam konteks yang lebih meluas, Dr. Mahathir sekali lagi mengulangi pandangannya mengenai konsep demokrasi termasuk risiko semangat demokrasi mungkin tidak diamalkan secara baik.










