KUALA TERENGGANU 23 Feb. Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) memohon pertimbangan kerajaan negeri agar meneruskan penganjuran program Hadiah Sastera Darul Iman (Hasdi) yang telah dijadikan aktiviti dwi tahunan sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Satu Pelita, Kamarulzaman Ismail berkata, ia penting memandangkan Hasdi merupakan satu-satunya penganjuran aktiviti berprestij kerajaan negeri yang diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada mereka yang terlibat dalam bidang sastera di negeri ini.
“Sepertimana diketahui, Terengganu mempunyai ramai penulis yang berjaya mencipta nama dalam pelbagai genre sastera khususnya penulisan kreatif seperti drama, puisi, cerpen dan novel serta penulisan biografi, esei dan juga kritikan.
“Oleh itu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pelita (AJK) yang diadakan petang semalam mengharapkan kerajaan negeri terus membantu persatuan itu meneruskan penganjuran Hasdi IV yang sepatutnya dilaksanakan akhir tahun ini,” ujarnya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Hasdi I dirintis pada tahun 2013, disusuli Hasdi II (2015) dan Hasdi III (2017) yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan para sasterawan, penulis, pengarang anak negeri dan pemastautin yang menghasilkan karya bermutu dalam menyemarakkan dunia sastera tanah air.
Hasdi juga dianggap sebagai kemuncak penglibatan golongan berkenaan kerana ia turut menobatkan tokoh Sasterawan Negeri dan Sasterawan Harapan di samping karya-karya yang ditulis dalam bahasa Melayu dalam pelbagai genre.
Justeru itu, kata Kamarulzaman, bagi membantu kerajaan negeri menyubur dan menyemarakkan dunia sastera tanah air, AJK Pelita bercadang mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dalam tempoh terdekat.
“Ini adalah antara aktiviti 2019 yang dibincangkan semalam selain mengadakan bengkel penulisan puisi sempena Hari Guru, Ziarah Penulis, Bicara Karya Abdul Rashid Ngah, Diskusi Tiga Generasi Penulis Terengganu, Bicara Karya Tuan Sharif Putera, Bicara Karya Hilmi Rindu dan Pelancaran Buku Penulis Pelita,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE.










