Kemuka sijil cuti sakit palsu elak dibicara - Utusan Malaysia

Kemuka sijil cuti sakit palsu elak dibicara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 22 Feb. – Lima mang­sa kes menerima deposit tanpa lesen yang sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini membuat laporan polis mendakwa tertuduh utama mengemukakan sijil cuti sakit palsu bagi mengelak perbicaraan.

Aduan tersebut dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dekat sini hari ini kira-kira pukul 10.57 pagi kira-kira sejam selepas kes itu ditangguhkan kerana tertuduh utama, Roslina Abu Bakar, 54, tidak hadir.

Pengadu, Rositha Mohd. Dali, 51, berkata, kes di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) iaitu menerima deposit tanpa lesen sah itu mula dibicarakan pada September tahun lalu dan di­sebut semula pada Oktober, November dan Disember.

“Namun, pada setiap kali sebutan, penjamin tertuduh bertindak mengemukakan sijil cuti sakit bagi pihak tertuduh menyebabkan kes ini ditangguhkan sebanyak empat kali.

“Kami mengesyaki tertuduh mengemukakan sijil cuti palsu dan hari ini membuat laporan polis meminta perkara ini disiasat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Yang turut hadir, Jantan Zaiton, 50, Mohd. Loqman Hakim Low Abdullah, 51, Rashidah Ibrahim, 55, dan Rahimah Ibrahim, 47.

Sebelum ini, kesemua mereka membuat aduan polis mengadu ditipu oleh tertuduh yang mana Rositha mengalami kerugian sebanyak RM40,000, Jantan (RM68,000); Mohd. Loqman Hakim (RM1.08 juta), Rashidah (RM50,000) dan Rahimah (RM1,000).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN