Memasuki tempoh pertengahan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ketika ini sudah ada calon yang kelihatan penat.
Mungkin ada di antara keempat-empat calon yang bertanding tidak mahu akui, tapi bila dilihat jadual padat, mata merah dan suara sudah bertukar serak-serak basah, masing-masing boleh fahamlah.
Program diatur jentera kempen ada yang habis tengah malam, itu baru program rasmi yang sememangnya dalam jadual.
Ditambah dengan atur cara tidak rasmi, rasanya pukul 2 pagi baru ada antara mereka dapat pulang ke rumah melelapkan mata.
Tidak lama kemudian, sebelum subuh kena keluar semula, untuk berjemaah dengan penduduk, di surau mahupun di masjid-masjid.
“Penat memang penat, tapi jentera lagi penat. Saya bawa diri sahaja, ikut jadual yang sudah ditetapkan. Ini semua perkara biasa, nak menang kan?” kata calon BN, Zakaria Hanafi, 58.
Padatnya jadual turut memberi kesan kepada petugas-petugas media, ada yang sudah demam, ada juga mengalami cirit birit, tidak tentu makan barang kali.
Itu belum lagi mengambil kira faktor cuaca di Semenyih, panas terik di siang hari, menjelang petang tiba-tiba pula hujan lebat.
Jadi ingatan dan nasihat untuk semua yang bertugas semasa PRK DUN Semenyih berbaki kira-kira seminggu lagi, jagalah kesihatan, jaga pemakanan, banyakkan minum air masak.
Kerja-kerja juga, kempen-kempen juga, kesihatan lebih utama, nanti jadi berita lain pula. – UTUSAN ONLINE










