Kementerian Pertahanan lapor dua urus niaga land swap kepada SPRM - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan lapor dua urus niaga land swap kepada SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dua projek kem tentera yang melibatkan hasil urus niaga land swap sehingga menyebabkan kerugian besar dan mengancam strategik pertahanan negara.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pertahanan, Mohd. Nasaie Ismail berkata, dua projek itu terletak di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak.

Jelasnya, kedua-dua projek itu dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tapak tanah kem tentera di Kinrara, Selangor dan Rasah, Negeri Sembilan.

Menurut Mohd. Nasaie, terdapat campur tangan politik keterlaluan dan kecuaian urus tadbir dalam pelaksanaan projek tersebut sekali gus memberi kesan besar kepada hasil kerajaan dan aset pertahanan negara ini.

“Pembinaan kem di Paloh dan Hutan Melintang tidak termasuk dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), namun atas arahan telah dikeluarkan dipercayai atas faktor-faktor politik.

“Pada asalnya pihak kementerian merancang membina Kem 1 Briged di Port Dickson sebagai ganti Kem Kinrara dan Rasah secara land swap, namun ia dibatalkan. Kemudian projek itu dijalankan di Paloh dan Hutan Melintang,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan laporan kepada SPRM di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima laporan akhir siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang terhadap beberapa projek kementerian termasuk land swap.

Laporan siasatan itu juga telah dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 13 Februari lepas.

Menurutnya, hasil siasatan jawatankuasa itu yang telah dibentangkan pada 28 Januari lalu mendapati terdapat 16 projek land swap melibatkan 1286 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek sebanyak RM4.886 bilion.

Sementara itu, Mohd. Nasaie turut mendakwa terdapat bukti berbentuk arahan politik dan penglibatan secara langsung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha memindah dan menambah pengundi sert keluarga di kedua-dua kem itu yang berada dalam Parlimen Sembrong dan Bagan Datuk.

Jelasnya, terdapat keraguan dalam urusan pembelian kedua-dua lokasi secara land swap iaitu ia dibeli di bawah nilai semasa dengan RM500 juta bagi tapak Kem Kinrara namun penilaian sebenar berjumlah RM758 juta.

“Selain itu, mengikut penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), pembelian tanah di Kem Paloh sepatutnya RM7.28 juta namun nilainya naik sebanyak 43 peratus berbanding nilai semasa yang mencecah sehingga mencecah RM10.47 juta.

“Kedua-dua projek itu didakwa telah dimuktamadkan pembinaannya meskipun kontrak antara kerajaan dan syarikat belum dimeterai. Selain itu, projek itu juga tidak mendapat kebenaran merancang pihak berkuasa tempatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN