PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan hari ini menafikan laporan bahawa orang kelainan upaya (OKU) bujang tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
Merujuk kepada laporan mengenai seorang lelaki OKU bujang tidak memenuhi kelayakan untuk memohon BSH 2019, kementerian itu berkata, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membantu lebih daripada 140,000 OKU dengan bantuan Elaun Pekerja Cacat atau Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.
“Oleh itu, individu yang dilaporkan telah pun menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk kategori bujang sebanyak RM100,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Kewangan berkata, tiga juta orang dalam kategori bujang akan menerima BSH sebanyak RM100 pada hujung bulan hadapan.
Kisah Ishak Awi, 59, dari Kuala Terengganu yang terkilan setelah tidak layak menerima BSH 2019 menjadi tular. Ishak yang kudung dua belah kaki serta cacat tangan kiri dilaporkan belum layak memohon kategori warga emas kerana belum berusia 60 tahun. – Bernama










