Kementerian Kewangan nafi OKU bujang, ibu bapa tunggal, warga emas tidak terima BSH - Utusan Malaysia

Kementerian Kewangan nafi OKU bujang, ibu bapa tunggal, warga emas tidak terima BSH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kementerian Kewangan menafikan dakwaan bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) bujang, ibu bapa tunggal dan warga emas tidak menerima bantuan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kementerian dalam satu kenyataan memberitahu, Kerajaan Persekutuan kini menumpukan proses pendaftaran dan kemas kini maklumat untuk program BSH yang memberikan bantuan secara bersasar dan mengutamakan keluarga.

Menurutnya, BSH tahun ini juga memberi kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan.

“Kadar tambahan BSH 2019 sebanyak RM120 diberikan untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang anak dan bagi anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur.

“Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa ibubapa tunggal dengan tanggungan turut layak dan diberikan BSH pada tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan seorang lelaki OKU di Kuala Terengganu berasa terkilan sebaik mendapati dia tidak memenuhi kelayakan untuk memohon BSH 2019.

Ishak Awi, 59, dari Kampung Tanjung, Batu Rakit yang kudung kedua-dua belah kaki, pulang dengan rasa hampa sedangkan, sebelum ini dia berpeluang menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM450.

Sementara itu, Kementerian Kewangan menjelaskan, bagi warga emas yang melebihi 60 tahun, mereka juga layak menerima BSH sama ada berstatus berkahwin atau bujang.

Tambahan pula katanya, berikutan pengumuman Kementerian Kewangan pada 20 Februari lalu, tiga juta orang dalam kategori bujang akan menerima bayaran BSH sebanyak RM100 pada hujung Mac ini.

“Kerajaan akan mengkaji kadar bantuan seterusnya bagi golongan tersebut dan keputusan akan dimuktamadkan oleh Kabinet,” katanya.

Merujuk kepada golongan OKU, tambah kementerian, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu lebih daripada 140,000 OKU dengan bantuan elaun pekerja cacat atau bantuan OKU tidak berupaya bekerja.

“Oleh itu, individu yang dilaporkan telah pun menerima elaun pekerja cacat sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk kategori bujang sebanyak RM100.

“Kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang berkeperluan untuk meringankan beban kos sara hidup mereka berdasarkan kemampuan yang ada, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

MOF
 
MOF
 
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN