IPOH 24 Feb. – Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan sama ada terdapat kemungkinan sebuah restoran di Teluk Intan menggunakan bahan terlarang dalam masakan sehingga pelanggannya mengalami gejala khayal, lemah dan mengantuk selepas makan di premis berkenaan Isnin lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, sembilan sampel makanan dari restoran tersebut telah diambil untuk dianalisis dan pihaknya sedang menunggu keputusan laporan tersebut.
Katanya, siasatan kes berkenaan juga turut dijalankan oleh pihak polis dan setakat ini tiada sebarang keputusan diperoleh.
“Kita mengesyaki memang ada bahan terlarang namun jenis bahan itu masih belum dikenal pasti kerana masih dalam siasatan. Sampel makanan telah diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Belon Gergasi dan Buku Risalah Jom Hapuskan Aedes di Klinik Kesihatan Greentown di sini hari ini.
Dalam laporan akhbar Rabu lalu, sebuah restoran di Jalan Raja dekat Teluk Intan diserbu pihak polis dan pegawai Jabatan Kesihatan negeri setelah beberapa pelanggannya mendakwa berasa lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.
Pemeriksaan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak kira-kira pukul 11.20 pagi itu turut merampas beberapa jenis masakan seperti kuah makanan, ayam goreng, sayur dan nasi putih.
Terdahulu, mesej yang mendakwa seorang anggota polis dan tiga lagi anggota gagal ujian saringan air kencing selepas makan di sebuah premis di sini dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan, tular di laman sosial. – UTUSAN ONLINE










