LONDON 22 Feb. – Chelsea ada banyak sebab untuk tersenyum selepas membenam kelab Sweden, Malmo 3-0 untuk melangkah ke peringkat 16 akhir Liga Europa, hari ini.
Jaringan Oliver Giroud, Ross Barkley dan Callum Hudson-Odoi di Stamford Bridge memastikan Blues mara secara agregat 5-1.
Kemenangan hadir tepat pada masanya ketika kelab London itu memerlukan suntikan semangat sebelum berdepan Manchester City dalam final Piala Liga di Wembley, Ahad ini.
Ia juga penawar buat Blues selepas digantung daripada membeli pemain baharu dalam dua pasaran perpindahan berikutnya.
Kejayaan itu turut melegakan pengendali pasukan, Maurizio Sarri yang berdepan tekanan hebat ekoran kekalahan 0-2 kepada Manchester United dalam Piala FA, Selasa lalu.
“Kami perlu mengembalikan keyakinan dan ini adalah kemenangan yang bagus, terutama dapat mempertahankan gawang daripada dibolosi.
“Tugas malam ini sudah selesai, sekarang kami boleh fokus kepada cabaran seterusnya,” kata Giroud kepada BT Sport.
Chelsea, juara 2012/2013 kini akan berdepan kelab Ukraine, Dynamo Kyiv dalam pusingan 16 akhir.
Sementara itu, Mesut Ozil membalas kepercayaan Unai Emery apabila menunjukkan prestasi baik ketika membantu Arsenal menumpaskan BATE Borisov 3-0, sekali gus mara secara agregat 3-1.
Bintang tengah Jerman itu kembali dalam kesebelasan selepas digugurkan pada aksi pertama di Belarus, minggu lalu yang menyaksikan Arsenal kalah mengejut 1-0.
Gunners dianggap sebagai pilihan untuk mara suku akhir apabila berdepan kelab Perancis, Rennes pada saingan seterusnya.
Kelab Itali, Inter Milan yang menyingkirkan Rapid Vienna secara agregat 5-0 pula akan berdepan Eintracht Frankfurt manakala Sevilla bertemu Slavia Praha. – AGENSI










