SLIM RIVER – Ahli keluarga pemandu lori tangki minyak yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan berat di sini semalam, memohon agar semua pihak menghentikan penyebaran video kejadian tragis itu.
Isteri mangsa, Khatijah Abdul Karim, 36, berkata, dia dan ahli keluarga sedih dengan penularan video berkenaan yang menyaksikan tubuh mangsa terbakar sebelum dia meninggal di atas jalan raya.
Katanya, dia melihat video berkenaan menerusi perkongsian dalam aplikasi Whatsapp selepas dimaklumkan adiknya.
“Saya ada lihat video tersebut. Saya sangat sedih dengan keadaannya.
“Tolong jangan sebarkan video suami saya itu lagi. Kami tidak sanggup melihatnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Slim River di sini sebentar tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohamad Suhaimi Khamis, 38, meninggal dunia dalam kebakaran selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan berat di Kilometer 372 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara.
Bagaimanapun dua lagi pemandu berusia 45 dan 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang, Selangor malam ini. – K! ONLINE










