JOHOR BAHRU – Keputusan awal ujian saringan terhadap keluarga dan pihak yang mempunyai kaitan dengan kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat difteria dua hari lepas di sini menunjukkan mereka tidak dijangkiti penyakit itu, kata Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Selahudden Abdul Aziz.
Beliau berkata, ujian saringan yang turut melibatkan doktor dan petugas hospital terbabit, bertujuan memastikan jangkitan tidak merebak kepada individu lain.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor kini juga dalam langkah berjaga-jaga dan sedang melakukan pemantauan bagi memastikan jangkitan tersebut tidak merebak,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Selahudden pada masa sama, menasihati ibu bapa atau penjaga kanak-kanak supaya tidak mengabaikan kepentingan imunisasi terhadap kanak-kanak.
“Difteria dapat dicegah jika kanak-kanak diberi imunisasi. Maka, ibu bapa dinasihati mematuhi jadual imunisasi lengkap seperti ditetapkan,” katanya.
Dua hari lepas, seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun satu bulan meninggal dunia di sebuah hospital di sini, disyaki dijangkiti difteria.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini berkata, kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu.
Beliau berkata, kanak-kanak itu dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lepas dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.
Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari lepas dengan sebab kematian mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan, katanya. – Bernama










