TELUK INTAN – Sebuah kedai makan di sini diserbu polis dan Jabatan Kesihatan semalam selepas beberapa pelanggannya menjadi khayal apabila makan di kedai berkenaan.
Difahamkan, pekerja kedai makan berkenaan disyaki menggunakan bahan terlarang yang dimasukkan ke dalam masakan.
Menurut sumber, seorang anggota polis turut berada dalam keadaan lemah dan khayal selepas makan di kedai tersebut Isnin lalu.
“Polis tersebut membuat satu laporan dan bertindak daripada laporan itu, polis bersama pegawai Kementerian Kesihatan melakukan satu operasi bersepadu di kedai tersebut.
“Beberapa sampel makanan turut diambil daripada masakan yang disediakan kedai tersebut termasuk kuah lauk, ayam goreng dan sayur,” katanya.
Tambahnya, tiga pekerja kedai makan itu turut ditahan untuk pemeriksaan polis.
“Ujian air kencing mendapati semua pekerja yang ditahan itu positif dadah jenis opiat.
“Pemilik premis memaklumkan masakan yang disediakan di kedainya tidak menggunakan bahan terlarang seperti yang didakwa, namun tukang masak ada menggunakan kas-kas dalam masakannya,” katanya.
Ujarnya lagi, semua sampel makanan yang diambil dibawa ke Jabatan Kimia, Ipoh untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











