Kebanyakan al-Quran dijual dalam talian tiada kelulusan KDN - Utusan Malaysia

Kebanyakan al-Quran dijual dalam talian tiada kelulusan KDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau modus operandi tiga pihak yang menjual al-Quran secara dalam talian di negara ini, tanpa mendapat kelulusan kementerian.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Mohd. Nawardi Saad berkata, sebahagian besar naskah al-Quran yang dijual secara dalam talian datang dari negara-negara jiran yang didapati tidak memenuhi syarat dari segi standard percetakan di Malaysia.

“Siasatan kami mendapati penjual atau ejen terbabit membeli al-Quran ini dari negara jiran yang sebahagian besarnya tidak memohon lesen import dari KDN, menyebabkan ianya tidak dapat disemak oleh kami.

“Di Malaysia, percetakan naskah al-Quran kita adalah berdasarkan kepada sistem percetakan Arab Saudi, yang dipanggil Rasm Uthmani, tetapi negara tetangga kita mempunyai standard percetakan yang berbeza dan dari segi tanda ‘waqaf’ (tanda-tanda untuk menghentikan bacaan sebentar) dan ‘ibtida’ (tanda-tanda untuk menyambung semula bacaan) juga berbeza, daripada apa yang kita gunakan di sini,” kata Mohd. Nawardi kepada Bernama.

Beliau menegaskan bahawa mereka yang menjual naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Mohd. Nawardi berkata, pada masa ini, pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan, tetapi aktiviti pihak terbabit kini dalam pemerhatian bahagian itu, disamping mengumpulkan maklumat dan bukti sebelum mengambil sebarang tindakan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN