JOHOR BAHRU 23 Feb. – Jabatan Kesihatan Negeri sudah menjalankan ujian saringan terhadap ahli keluarga dan pihak yang mempunyai kaitan dengan kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia di sini dua hari lalu akibat difteria.
Pengarahnya, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz berkata, ujian itu dilakukan bagi memastikannya tidak merebak kepada individu lain.
Menurutnya, hasil keputusan awal mendapati, tiada ahli keluarga kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sebulan itu mahu pun doktor dan petugas hospital yang merawatnya dijangkiti penyakit tersebut.
“Pihak Jabatan Kesihatan negeri Johor kini juga dalam langkah berjaga-jaga dan sedang melakukan pemantauan bagi memastikan jangkitan tersebut tidak merebak.
“Justeru, ibu bapa atau mana-mana penjaga kanak-kanak supaya tidak mengabaikan kepentingan imunisasi kerana ia merupakan cara efektif dalam pencegahan kepada pelbagai penyakit berjangkit,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini berkata, kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Feb lalu.
Menurutnya, kanak-kanak itu dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lalu dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.
Kanak-kanak itu, katanya, tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia kelmarin kerana mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan. – UTUSAN ONLINE










