MANCHESTER 13 Feb. – Kylian Mbappe berkata Paris Saint-Germain (PSG) membuktikan mereka tidak gentar untuk beraksi tanpa kehadiran dua bintang iaitu Neymar dan Edinson
Cavani setelah kelab dari Perancis itu menewaskan Manchester United 2-0 dalam perlawanan pertama kalah mati Liga Juara-Juara.
“Kami perlu mengakhiri cerita seram. Peminat perlu berhenti daripada berasa bimbang. Sudah pasti Neymar amat penting begitu juga Cavani namun bola sepak adalah permainan
berpasukan dan kami membuktikannya pada hari ini,” kata Mbappe.
Mbappe menjuarai Piala Dunia 2018 bersama Perancis meledak gol kedua PSG selepas Presnel Kimpembe menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-53 dengan skuad kendalian Thomas
Tuchel menguasai corak permainan.
Itu merupakan persembahan terbaik PSG tanpa kehadiran Neymar dan Cavani yang cedera, pemain termahal di dunia serta penjaring terbanyak sepanjang zaman juara Perancis itu.
Kemenangan PSG merupakan kekalahan pertama United di bawah kendalian jurulatih sementara, Ole Gunnar Solskjaer.
“Pada babak kedua kami perlu beraksi dengan baik sebab kami tahu mereka cuba untuk mengubah corak permainan dan mendapatkan bekalan gol di laman sendiri.
“Kami gembira dengan keputusan ini dan kami perlu mempersiapkan pasukan untuk perlawanan seterusnya sebab saya fikir dalam tempoh 20 minit terakhir rentak permainan kami
terjejas. Kami ada tempoh tiga minggu dari sekarang untuk memastikan kami bersedia dan memastikan kami layak ke suku akhir,” kata Mbappe lagi. – AFP










