Kami reda, Bari ada keyakinan tolong orang - Ibu - Utusan Malaysia

Kami reda, Bari ada keyakinan tolong orang – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 9 Feb. – Ibu kepada seorang pemancing yang dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan di sini, reda sekiranya ditakdirkan akan kehilangan anaknya dalam kejadian itu.

Masitah Awang, 60, berkata, walaupun sedih mereka sekeluarga tetap menerima setiap ketentuan yang berlaku sebagai ujian daripada Allah.

Katanya, dia sempat berbual dengan Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, ketika anak ketiganya itu memberitahu hasrat mahu keluar memancing bersama rakan kira-kira pukul 3 petang semalam.

“Makcik terima apa yang berlaku, harap cepatlah dapat jumpa anak makcik ni.

“Kami reda sebab dia ada keyakinan menolong orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Warisan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, tindakan pantas Abdul Bari Asyraf bersama lima orang awam lain dikenali sebagai Asadullah, Saiful Anuar, Omar, Shahrul Mizan dan Mohd. Amirol Hafizol yang nekad terjun ke muara sungai berjaya menyelamatkan lima sekeluarga yang berada dalam kenderaan tersebut.

Lima sekeluarga itu adalah Suryati Rusly, 37; Nordiana Alwani Jaafar, 33; Asmaa Rusly, 23; Syafawani Jaafar, 11; dan Iman Nur Hana Luthfia Mohd. Amiruddin yang berusia tiga tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN