Kali pertama kena undi untuk masuk KL Maraton - Utusan Malaysia

Kali pertama kena undi untuk masuk KL Maraton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Populariti Standard Chartered Kuala Lumpur (KL) Maraton dalam kalangan peserta dalam dan luar negara membuatkan penganjurnya terpaksa membuat pengundian untuk menentukan siapa yang layak bertanding pada edisi ke-11 dari 28 dan 29 September ini.

Sistem pengundian yang kali pertama dibuat dalam sejarah penganjuran maraton paling berprestij di Malaysia ini bagaimanapun hanya membabitkan orang awam sahaja kerana kuota untuk peserta tahun lalu sama ada membabitkan pelari amatur atau profesional telah pun penuh.

Ini sekali gus membayangkan sambutan yang diterima KL Maraton tahun ini lebih hebat berbanding tahun lalu apabila dijangka lebih 38,000 peserta akan mengambil bahagian termasuk daripada 70 negara luar.

Pengarah Jawatankuasa Penganjur KL Maraton, Rainer Biemans berkata, sistem pengundian ini dibuat bertujuan untuk berlaku adil kepada peserta di mana mereka yang bernasib baik akan terpilih tanpa perlu berebut antara satu sama lain atau menimbulkan sebarang isu dan prasangka buruk,

Buat masa ini tambahnya, hanya tinggal 12,000 slot untuk diisi oleh orang awam manakala selebihnya iaitu kira dua pertiga daripada keseluruhan peserta telah diisi dan diberi keutamaan kepada peserta tahun lalu atas konsep kesetiaan.

“Kami memperkenalkan kuota peserta setia atau tetap ini pada 2016 sebagai menghargai sokongan kuat mereka. Sejak itu jumlah penyertaan mereka konsisten mencapai 40 hingga 45 peratus setiap tahun.

“Bagaimanapun agak mengejutkan kami tahun ini apabila jumlah tersebut meningkat kepada 60 peratus menyebabkan kami terpaksa membuat pengundian kepada baki kuota yang ada untuk orang awam,” katanya dalam pelancaran majlis pengundian secara berkomputer untuk orang awam yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar selaku penaja utama.

Peserta yang terpilih berdasarkan kertas undi yang diserahkan kepada penganjur pada 13 hingga 19 Februari lalu boleh melihat nama mereka menerusi Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang KL Maraton.

KL Maraton yang laluannya meliputi sekitar jalan utama di ibu kota Kuala Lumpur ini menawarkan hadiah kemenangan keseluruhan berjumlah RM500,000. Ia mempertandingkan kategori 5km, 10km dan 40km. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN