Kajian terperinci sebelum kurangkan kakitangan awam - Utusan Malaysia

Kajian terperinci sebelum kurangkan kakitangan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 23 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini memohon Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed mengkaji semula cadangan mengurangkan penjawat  awam yang berasaskan keperluan semasa.

Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pengurangan atau penambahan penjawat awam perlu mengikut keperluan semasa kerajaan menerusi kajian yang terperinci. 

Menurutnya, cadangan mengecilkan jumlah penjawat awam mungkin akan menambahkan kadar pengangguran namun kerajaan pastinya mempunyai pendekatan yang lebih strategik. 

“Sebagai kerajaan semasa yang memerintah semestinya  peluang pekerjaan kepada rakyat menjadi fokus utama dan kita mesti tahu bahawa pengambilan penjawat awam bukan diputuskan ahli politik.

“Sebab itu saya katakan sama ada hendak tambah atau kecilkan jumlah tenaga sumber manusia dalam sektor awam perlu mengikut keperluan dan keputusan boleh diambil selepas kajian terperinci dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Daerah Pasir Puteh di Raja Dagang Resort di sini, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan Perdana Menteri menyifatkan  jumlah penjawat awam ketika ini terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Mahathir menyatakan jumlah penjawat awam hanya satu juta ketika beliau meletakkan jawatan tetapi kini mencecah 1.7 juta.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Kamarudin berkata, peningkatan itu mungkin dilihat sebagai mendadak tetapi mungkin berlaku kerana keperluan kerajaan ketika itu.

Menurutnya, unit perancangan pekerja boleh tentukan perkara ini agar ianya tidak disalah tafsirkan. 

“Ini kerana jumlah terbesar dalam perkhidmatan awam sekarang adalah terdiri dari orang Melayu yang mesti dibela, “ katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN