Kabinet lulus hutang RM1 bilion Sarawak, baik pulih sekolah - Utusan Malaysia

Kabinet lulus hutang RM1 bilion Sarawak, baik pulih sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Kabinet hari ini telah meluluskan dan bersetuju hutang RM1 bilion kerajaan Sarawak terhadap kerajaan persekutuan akan digunakan untuk baik pulih sekolah daif di negeri itu.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan ini adalah susulan daripada persetujuan antara beliau dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika lawatannya ke Kuching semalam.

Menurut kenyataan itu, dengan kelulusan berkenaan, ia akan memberi manfaat kepada 436,000 murid di seluruh Sarawak.

“Kabinet juga telah bersetuju agar projek ini dipantau rapi untuk memastikan wang RM1 bilion yang akan digunakan nanti benar-benar digunakan secara efisien dan memberi manfaat kepada semua anak murid dan warga guru di sekolah yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa khas yang akan dianggotai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan serta Kerajaan Negeri Sarawak akan ditubuhkan untuk memastikan tadbir urus yang bersih dan proses yang telus dapat dilaksanakan.

“Di peringkat perlaksanaan pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan ditugaskan sebagai agensi pelaksana,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN