KUALA LUMPUR 22 Feb. – Juara remaja Asia 2017, Leon Jun Hao akan membuat perhitungan bersama Soong Joo Ven di pentas final bagi menentukan juara Kejohanan Badminton Kebangsaan, di Ipoh esok.
Jun Hao yang juga naib juara remaja dunia 2017 melangkah ke pentas final selepas menundukkan Lim Chong King 16-21, 21-13, 21-18 manakala Joo Ven menyingkirkan juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing 23-21, 21-11 di Arena Badminton Perak, hari ini.
Turut ke aksi final ialah juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei selepas mengetepikan Lee Ying Ying 21-6, 21-7 untuk bertemu Soniia Cheah yang menewaskan Lim Yin Fun 18-21, 21-19, 21-14.
Hasrat Goh V Shem-Tan Wee Kiong mempertahankan kejuaraan mereka tidak kesampaian selepas tewas kepada Teo Ee Yi-Ong Yew Sin 21-13, 25-27, 22-24 manakala gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menempah slot final dengan menewaskan Lee Jian Yi-Lim Zhen Ting 21-18, 21-16.
Aksi beregu wanita menyaksikan Anna Cheong-Lim Chiew Sien menempah slot dua terbaik dengan menundukkan Yap Rui Chen-Yap Yi 21-9, 21-18 untuk bertemu Cheah Yee See-Teoh Mei Xing yang menyingkirkan Ng Qi Xuan-Desiree Siow 21-13, 23-21.
Sementara itu, acara beregu campuran menyaksikan pasangan bebas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak berdepan masalah mara ke final selepas menundukkan Tan Kian Meng-Peck Yin Wei 18-21, 21-14, 21-7 untuk bertemu Hoo Pang Ron-Shevon Lain yang menyingkirkan Chen Tang Jie-Lai Pei Jing 21-19, 12-21, 21-11.
Peng Soon bagaimanapun tidak memandang rendah cabaran Pang Ron-Shevon kerana mereka pernah menjalani latihan bersama semasa dia berada di dalam skuad kebangsaan.
“Tidak dinafikan perlawanan akhir esok akan menjadi satu cabaran sukar untuk kami kerana pernah berlatih bersama bagi tempoh yang lama, sekali gus menyebabkan kedua-dua beregu tahu corak permainan masing-masing. “Bagaimanapun, kami akan cuba bermain seperti biasa dan kerahkan segala-galanya bagi membawa pulang gelaran sebagai juara,” katanya.-UTUSAN ONLINE










