KUANTAN 23 Feb. – Sebuah jawatankuasa bertindak bersama telah diwujudkan antara Lynas Corporation Ltd (Lynas) dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi mengadakan perbincangan terperinci berhubung sisa yang dihasilkan kilang memproses nadir bumi itu.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan awal bulan ini itu akan membincangkan syarat baharu kementerian berkenaan yang mahu sisa mengandungi bahan radioaktif iaitu Fosfogypsum Besi (WLP) dibawa keluar dari negara ini.
“Perkara itu (sisa WLP) sedang dalam perbincangan terperinci dengan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Lynas menerusi jawatankuasa itu akan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk memastikan kita terus beroperasi di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Rumah Orang-orang Tua Jabor, Memorial Park, Jabor dekat sini hari ini.
Yang hadir sama Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza.
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam kenyataannya sebelum ini, mengenakan dua syarat untuk pembaharuan lesen kilang Lynas antaranya menghantar sisa mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.
Kenyataan itu menyebut Lynas perlu memastikan sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif hendaklah dihantar keluar dari negara ini dan bagi sisa buangan terjadual Gypsum Magnesium (NUF) yang bukan radioaktif, Lynas perlu mengemukakan suatu pelan tindakan bagi pelupusan buangan yang terkumpul sebelum ia boleh dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. – UTUSAN ONLINE










