KUALA LUMPUR 23 Feb. – Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, tiada pasukan yang sepatutnya mempunyai melepaskan pemain dalam kelayakan Piala AFC B-23 di Kuala Lumpur bulan depan kerana kejohanan itu berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Selepas kecewa melihat anak-anak buahnya tersingkir seawal peringkat kumpulan pada Piala AFF B-22 di Kemboja semalam, beliau berharap situasi sama tidak berulang apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada China, Laos dan Filipina dalam saingan Kumpulan J kelayakan Piala AFC B-23 dari 22-26 Mac ini.
Penyingkiran awal Malaysia di Kemboja sudah dijangka kerana Kim Swee tidak memiliki pasukan terbaik ekoran keengganan beberapa pasukan melepaskan pemain mereka, selain tidak dapat membawa tonggak utama seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid serta Syahmi Safari.
“Saya tidak nampak sebab ada pasukan bermasalah melepaskan pemain mereka mewakili skuad kebangsaan pada kelayakan Piala AFC kerana kejohanan itu berada dalam kalendar FIFA.
“Seperti semua jurulatih di dunia, sudah tentu saya inginkan pemain terbaik yang ada di negara saya berada dalam pasukan kebangsaan.
“Bagaimanapun dari sudut positif, saya gembira melihat beberapa pemain mengambil peluang mengisi kekosongan dengan cukup baik. Saya puas hati melihat prestasi pemain seperti Ariff (Ar-Rasyid Ariffin, PKNS), Nazirul Afif (Ibrahim, Perak), (R) Dinesh (Pahang) dan Nabil (Hakim Bokhari, Kuala Lumpur),” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Malaysia yang turun tanpa pasukan terkuat dan berdepan pelbagai ujian sebelum berlepas ke Phnom Penh tewas 0-1 kepada Kemboja dalam aksi pembukaan, sebelum seri 2-2 dengan Indonesia dan menang 1-0 ke atas Myanmar pada perlawanan terakhir semalam.
Dia sebelum ini memanggil enam pemain Mohd. Fadzrul Danel Nizam (Kedah), Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (Felda United), Mohd. Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi (Selangor) tetapi tidak dilepaskan majikan masing-masing.











