Jangan buat tindakan terpilih - Utusan Malaysia

Jangan buat tindakan terpilih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 4 Feb. – Majlis Suara Melayu Johor (Suara) berharap Malaysia baharu pada hari ini akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu dalam media sosial.

Pengerusi Suara, A. Rahman Mahadi berkata, kerajaan Pakatan Harapan (HP) tidak seharusnya mengamalkan double standard atau melakukan tindakan dan pendakwaan yang terpilih.

“Perbuatan ini tidak boleh dimaafkan malah sudah keterlaluan. Negara kita dah beralih ke fasa baharu daripada pemerintahan dan perubahan sosio buda­yanya tetapi perlu ada batasnya.

“Dalam Rukun Negara juga sudah tertulis mengenai perkara itu. Jadi janganlah ada pihak yang sengaja mewujudkan persengketaan itu, sudah lama kita hidup serumpun mengapa ditimbulkan perkara seperti ini (hina raja) sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Suara dan Gerakan Pemulihan Bangsa di Hotel Seri Malaysia, Larkin di sini semalam.

A. Rahman mengulas tindakan seorang pemilik Facebook bernama Desmond Yongkor yang menghina dan tidak menghormati institusi beraja di negara ini dalam akaun Facebooknya baru-baru ini.

Beliau berkata, Suara akan bertindak sebagai agen pendesak mewakili rakyat untuk menolak mana-mana individu yang sesuka hati mempertikaikan kuasa raja-raja dan kedaulatan Melayu.

Perkara tersebut juga, kata­nya, adalah termasuk tindakan mengeluarkan kenyataan bersifat sedemikian walaupun melibatkan pemimpin politik negara ini.

Pada masa sama, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu lebih berkesan memantau isi kandungan media sosial yang melampau sebelum tindakan segera diambil.

Menurutnya, rakyat kini sudah bangun bersuara melawan mereka yang tidak menghormati institusi diraja dan kebangkitan itu bukan bermakna mahu menentang kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN