KUALA LUMPUR 4 Feb. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan supaya rakyat tidak membiarkan diri mereka terhasut dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian negara yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan budaya.
Perdana Menteri menjelaskan, rakyat di negara ini bertuah kerana mereka terdiri daripada berbilang kaum serta agama sekali gus meraikan kepelbagaian tersebut dengan harmoni dan aman.
“Ini merupakan satu perkara yang biasa bagi kita, tetapi ia tidak sentiasanya begitu. Menjaga hubungan antara rakyat berlainan kaum, agama dan budaya bukanlah satu perkara yang mudah, kita tidak boleh pandang ringan perkara ini.
“Akan ada dalam kalangan kita, pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian ini untuk tujuan tertentu. Saya harap kita tidak akan biarkan diri kita terhasut dengan perkara sebegini,” katanya menerusi rakaman video ucapan Tahun Baharu Cina dalam akaun media sosial miliknya hari ini.
Dalam pada itu, tambah beliau, rakyat seharusnya mengambil peluang untuk meneruskan tradisi kunjung-mengunjungi bagi mengukuhkan lagi tali persaudaraan.
“Saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya yang berketurunan Tionghoa,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perayaan tersebut membawa nilai saling menghormati dan kekeluargaan dalam kalangan penyambutnya.
Menurut beliau, nilai tersebut jelas ditunjukkan pada tradisi makan besar sempena perayaan itu yang antaranya menekankan rasa kebersamaan dalam sesebuah keluarga.
“Ketika Malaysia menuju ke arah menjadi negara tua, tradisi seperti ini harus dihargai dan nilai-nilai kebersamaan dalam keluarga perlu ditanam dalam kalangan golongan muda.
“Nilai-nilai ini jugalah yang menyatukan masyarakat kita. Hormatilah mereka yang tua, jagalah mereka, belajar dari kebijaksanaan mereka dan jangan mengabaikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.










