KOTA BHARU 23 Feb. – Sentuhan antara lelaki dan perempuan tidak boleh dianggap perkara biasa kerana ia antara faktor yang membawa kepada jenayah rogol dan seks luar nikah.
Pegawai Psikologi Kolej Komuniti Kok Lanas, Mohd Effendy Daud berkata, ibu bapa terutama pada zaman gajet telekomunikasi canggih mempunyai tanggungjawab besar melindungi anak-anak daripada lelaki berniat jahat yang akan melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu mereka.
Mohd Effendy berkata, banyak kes gejala sosial bermula setelah gadis terperangkap dengan ‘sentuhan pertama’ teman lelaki yang menyebabkan mereka rasa seronok dan terangsang.
“Antara taktik biasa yang lelaki gunakan adalah membawa gadis membonceng motosikal bersama kerana kedudukan yang rapat itu mewujudkan rangsangan.
“Ibu bapa jangan benarkan anak-anak kita membiarkan diri mereka disentuh kawan-kawan lelaki termasuklah di sekolah kerana ia mendorong kepada rasa seronok.
“Bermula dengan rasa sedap dan seronok inilah yang akhirnya membawa kepada perbuatan zina dan menjadi lebih teruk apabila sudah ketagih,” katanya selepas slot ‘Oh Sosial’ dalam Program Diskusi : Wanita dan Cabaran 2019 anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Asnaf negeri Kelantan (Perkaya) di HB Village Resort di sini hari ini.
Program dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) negeri yang dianjurkan secara percuma itu disertai kira-kira 200 peserta.
Yang turut hadir Pengarah JPW negeri, Azlina Mohd Embran dan Pengasas Perkaya, Nor Fasha Abdul Aziz.
Program bermula sejak pagi itu turut melibatkan sesi perkongsian rohani, undang-undang, keselamatan dan kesihatan.
Sementara itu, Mohd Effendy yang berpengalaman bertugas sebagai pegawai psikologi di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 2010 berkata, beliau pernah mengendalikan kes rogol bawah umur gadis berusia 14 tahun yang terjerat hanya dengan panggilan ‘tersilap dail’ daripada lelaki berhidung belang.
“Lelaki itu kononnya tersilap dail kepada gadis berkenaan tetapi perbualan telefon kemudiannya meleret kepada ajakan untuk bertemu di sebuah kedai 24 jam.
“Gadis yang tidak pernah mempunyai teman lelaki ini kemudiannya dibawa membonceng motosikal lelaki itu yang singgah ke satu tempat dahulu membeli air ketum sebelum merogolnya di sebuah ladang sawit,” katanya. – UTUSAN ONLINE










