PUTRAJAYA 23 Feb.- Jabatan Perikanan (DOF) sentiasa melaksanakan pemantauan halal terhadap ikan termasuk penghasilan berkaitan produk-produk ikan sejak 2010 lagi.
Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, pemantauan tersebut dijalankan secara berkala bagi mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) Porsin ke atas produk perikanan seluruh negara.
“Antara produk dianalisa adalah ikan, makanan ikan dan tepung ikan yang dilakukan di makmal Biosekuriti Perikanan di Kuala Lumpur dan Bintawa, Sarawak.
“Hanya 4.9 peratus sampel sahaja yang dikesan positif mengandungi DNA Porsin iaitu diambil daripada makanan ikan menerusi pemantauan terhadap 846 sampel sepanjang 2016, 2017 dan 2018,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu mengulas dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung terdapat ikan ternakan yang diberikan makanan berasaskan babi.
Menurut DOF lagi, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memutuskan isu halal hanyalah dihadkan kepada barangan makanan dan kegunaan peribadi sahaja.
“Ia tidak dikembangkan ke atas haiwan kerana hukum halal dan larangan haram hanya terpakai kepada manusia sahaja.
“Selain itu, satu penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung mendapati ikan diberikan makanan tidak halal berupaya menyucikan badan mereka 72 jam setelah melalui proses istihala (pengasingan – tidak diberikan makan)” jelasnya.
DOF berharap agar pihak berkaitan tidak membuat dakwaan tanpa disertakan maklumat lebih terperinci kerana kesannya mengakibatkan kecelaruan dalam kalangan pengguna dan aktiviti penternakan ikan.-UTUSAN ONLINE










