ITRC setuju kurangkan eksport getah - Utusan Malaysia

ITRC setuju kurangkan eksport getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) bersetuju untuk mengurangkan eksport getah ke pasaran antarabangsa sebanyak 200,000 hingga 300,000 tan melalui Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) bagi memulihkan semula harga komoditi itu.

ITRC dalam kenyataan berkata, dalam masa sama, negara-negara ahli akan terus melaksanakan projek-projek di bawah Skim Promosi dan Permintaan (DPS) yang akan meningkatkan penggunaan domestik dengan ketara.

“Menteri-menteri juga komited untuk meneruskan dan meningkatkan pelaksanaan Skim Pengurusan Bekalan (SMS). SMS adalah penting untuk mencapai keseimbangan jangka panjang dalam permintaan dan bekalan getah asli.

“Negara anggota digalakkan untuk mempercepatkan penanaman semula getah asli serta menanam tanaman alternatif.

“Thailand meneruskan penanaman pokok getah sebanyak 65,000 hektar setahun. Sementara itu, Indonesia akan memulakan penanaman pokok getah sebanyak 50,000 hektar setahun dan Malaysia melaksanakan program penanaman semula sebanyak 25,000 hektar setahun,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Persetujuan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri ITRC yang berlangsung hari ini di Bangkok, Thailand dan diwakili oleh kementerian terbabit daripada tiga negara anggota iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN