MESKIPUN mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur, pengendali Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim nyata berang dengan sikap anak-anak buahnya yang disifatkan menjadikan perkara mudah sebagai sukar pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Irfan Bakti berkata, berbanding aksi penuh bertenaga ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan seri di Kuala Terengganu minggu lalu, persembahan para pemainnya amat teruk pada kali ini.
Beliau menjelaskan, bukan untuk merendah-rendahkan kemampuan skuad Warga Kota, namun pemainnya terlalu mengikutkan rentak permainan pasukan tuan rumah sehingga memaksa mereka bermain dengan teruk.
“Mereka menjadikan perkara senang menjadi sukar. Aksi kali ini sama sekali bertukar 360 darjah berbanding kualiti yang dipersembahkan ketika berdepan JDT minggu lalu.
“Pemain buat sesuatu perkara senang menjadi lebih susah kerana sepatutnya mereka bermain dengan mudah.
“Bukan saya mahu merendahkan kemampuan Kuala Lumpur, namun saya melihat pemain-pemain saya mula mengikut rentak mereka,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Stadium kelihatan agak suram apabila kedua-dua pasukan buntu mendapatkan jaringan sebelum suasana menjadi gamat apabila Igor Zonji menanduk masuk gol kemenangan hasil sepakan sudut pada minit ke-68, sekali gus mengutip tiga mata di tempat lawan.
Sementara itu, aksi Kipre Tchetche turut tenggelam biarpun dia merupakan salah seorang sandaran utama pasukan pada jentera serangan.
“Sentuhan Kipre juga serba tidak menjadi malam ini dan bukanlah seperti apa yang kami impikan,” katanya.










