LABIS 20 FEB. – GASING adalah satu permainan tradisional yang popular satu ketika dahulu. Pada masa sekarang gasing mungkin masih dimainkan di beberapa kawasan kampung sahaja.
Tidak dapat dinafikan gasing berpotensi untuk dilupakan generasi akan datang malah jika tiada inisiatif dibuat bagi mempertahankannya mungkin akan lenyap sedikit masa lagi.
Bagi seorang pengusaha gasing di daerah ini, Mohd. Yunus Ismail sanggup melakukan beberapa inovasi terhadap gasing supaya dapat bertahan sebagai warisan dan produk sejati Malaysia.

Kira-kira empat tahun lalu, Mohd. Yunos membuat inovasi terhadap gasing tradisional dengan mengecilkan saiz dan memberikan warna untuk setiap gasing yang dihasilkan secara manual.
Kesemua gasing inovasi tersebut direka bercirikan gasing tradisional dan dilakukannya di bengkel pembuatan gasing di sini. Ternyata gasing ciptaannya mendapat sambutan positif dalam kalangan masyarakat terutama anak muda.
“Apa yang membezakan gasing inovasi dengan gasing tradisional ialah cara permainan. Gasing inovasi dipusingkan pada papan atau gelanggang selain dipusing tanpa menggunakan tali. Ini berbeza dengan gasing tradisional yang dipusing menggunakan tali.
“Gasing inovasi juga mempunyai kepala yang lebih tinggi bertujuan membolehkannya dipegang dan dipusingkan menggunakan tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, terdapat 12 bentuk gasing yang diubah suai seperti gasing helang, gasing muat, gasing bawang, gasing tenang, gasing mak Minah dan gasing timbalan setia.
“Terbaharu saya ada mencipta gasing yang dinamakan dancing ladies khusus untuk menarik minat kanak-kanak perempuan untuk mencuba permainan tersebut,” katanya.
Mohd. Yunus yang berpengalaman 12 tahun dalam pembuatan gasing memberitahu, inisiatifnya mereka bentuk gasing moden disifatkannya sebagai satu tanggungjawab kepada negara.
Bekas pekerja telekomunikasi itu berkata, hanya memerlukan 30 minit untuk membuat tiga biji gasing bersaiz mini dengan menggunakan kayu jenis cengal, merbau dan leban.
“Bermula daripada ketulan kayu kemudian proses melarik dan membersihkannya, selepas itu permukaannya dilicinkan sehingga proses mewarna dapat dilakukan,” katanya.











