NEW DELHI 26 Feb. – India memaklumkan pesawat tempurnya telah melancarkan serangan terhadap kem militan dan mengorbankan sejumlah besar pengganas, tindakan yang dilihat bakal memburukkan lagi ketegangan dengan Pakistan di wilayah bergolak Kashmir.
India mendakwa kumpulan pengganas itu sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan terhadap India.
Stesen penyiar India, CNN-News 18 melaporkan, sumber pegawai tertinggi kerajaan mendakwa beratus-ratus militan termasuk 25 komandernya maut susulan serangan Tentera Udara India itu.
Namun Pakistan menolak dakwaan India bahawa sejumlah besar anggota kumpulan pemisah terbunuh dalam serangan udara itu.
Terdahulu, tentera Pakistan menegaskan jet pejuang India, Mirage-2000 melintasi ruang udaranya di Kashmir dan menggugurkan ‘muatan’.
Perkembangan terbaharu itu tercetus susulan insiden pengebom bunuh diri yang mengorbankan berpuluh-puluh tentera India di Kashmir baru-baru ini.
New Delhi berikrar untuk bertindak balas selepas kumpulan militan berpangkalan di Pakistan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.
Setiausaha Luar India, Vijay Gokhale berkata, serangan dilancarkan di sebuah kem Jaish-e-Mohammad (JeM) yang mengaku melancarkan serangan pengebom bunuh diri itu.
“Sejumlah pengganas JeM, jurulatih, komander kanan dan anggota kumpulan itu yang dilatih untuk melakukan serangan pengebom bunuh diri telah ‘dihapuskan’,” katanya.
Sementara itu BBC melaporkan, jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata, Tentera Udara India mencabuli Garisan Kawalan (LoC) antara kawasan pentadbiran Pakistan di Kashmir.
Ekoran itu kata beliau, Tentera Udara Pakistan terpaksa digerakkan segera sebagai maklum balas serangan.
“Apabila berdepan dengan maklum balas efektif dan pantas, jet pejuang India tergesa-gesa melepaskan ‘muatan’ berhampiran Balakot sebelum lesap,” katanya.
Asif memberitahu, Balakot terletak di wilayah Pakistan dan tiada sebarang kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan apa yang dimaksudkan dengan ‘muatan’, sama ada dirujuk sebagai bom atau peluru berpandu.
Jurucakap tentera melalui Twitter menyiarkan imej ‘muatan’ yang dilepaskan oleh pesawat India itu. – AGENSI/AFP











