KUALA LUMPUR 20 Feb. – Jenama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dalam arena sastera tanah air sangat gah. Bukan sedikit penulis tersohor negara memulakan atau mengukuhkan legasi mereka menerusi HSKU.

Namun kini, dengan perkembangan teknologi yang turut memberi impak kepada dunia sastera, mampukah HSKU mengekalkan prestijnya dan terus menjadi relevan?
pemenang utama kategori puisi HSKU 2013 dan 2016, Ainunl Muaiyanah Sulaiman, 31, berkata bagi mengembalikan gah HSKU, acara tahunan itu perlu kembali menjadi pencipta trend untuk sastera tempatan.
Katanya, suatu masa dahulu HSKU pernah menjadi penanda aras trend penulisan di negara ini apabila setiap kali ada pemenang yang memperkenalkan bentuk dan tema baharu, ia akan menjadi ikutan pada tahun seterusnya.
“Namun seperti sejarah Nokia yang pernah gemilang dan mendominasi, oleh sebab HSKU tidak melentur dengan zaman dan berkembang, kini saya lihat fasa penguncupan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ainunl Muaiyanah menyenaraikan tiga sebab HSKU semakin hilang taring, iaitu kawalan editorial yang longgar, karya pemenang yang boleh diramal formulanya serta penganjuran majlis penyampaian hadiah yang janggal.
Sehubungan itu, katanya, HSKU perlu kembali menjadi pencipta trend dan penanda aras kepada penulisan sastera di Malaysia.
“Keterikatan kepada bentuk tertentu dalam masa yang lama serta enggan berubah untuk menerima sastera bentuk baharu akan menjadikan HSKU tidak relevan dan memalingkan penulis muda daripadanya,” katanya.










