PULAU PINANG 23 Feb. – Kira-kira 2,000 penduduk di sebuah kondominium di Bukit Jambul di sini hidup dalam kebimbangan selepas saban hari ‘dihujani’ dengan bola golf yang jatuh ke kawasan kediaman mereka dari sebuah kelab golf berdekatan.
Saban hari, berpuluh-puluh bola golf menghujani kawasan kondominium mereka sehingga menyebabkan tingkap rumah dan cermin kereta penduduk pecah dengan kejadian terbaharu berlaku Februari lalu.
Sehingga kini iaitu selepas kejadian itu menjadi semakin serius dua tahun lalu, lebih 1,000 bola golf sudah dikutip penduduk yang masuk dari kelab golf yang berjarak kurang 200 meter dari kediaman mereka itu.
Malah, ketika sidang akhbar dijalankan di kondominium itu juga, beberapa bola golf dapat didengar dengan jelas mengenai besi di dalam kawasan padang kelab golf tersebut yang boleh melantun masuk ke kediaman penduduk.
Menurut Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium The Address, Ahmad Munawir Abdul Aziz, sehingga kini, lebih 10 laporan polis dibuat penduduk berhubung ancaman keselamatan mereka daripada lantunan bola golf tersebut.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak beberapa tahun lepas namun sehingga kini tidak ada sebarang maklum balas atau tindakan diambil.
“Kita tidak mahu apabila ada penduduk yang cedera terkena bola golf ini barulah pihak berwajib mahu mengambil tindakan kerana ketika itu semuanya sudah terlambat.
“Bola golf yang dipukul laju ini boleh membunuh sekiranya terkena penduduk apatah lagi jika mengenai kanak-kanak yang sering bermain di taman di dalam kawasan kediaman ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Ahmad Munawir, apa yang dikesalkan penduduk juga apabila pihak pengurusan kelab golf berkenaan seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan langsung tidak mempedulikan soal keselamatan dan nyawa penduduk kondominium berkenaan.
Katanya, dalam pertemuan mereka sebelum ini, pihak pengurusan kelab golf itu didakwa memberi alasan mereka terlebih dahulu beroperasi di kawasan berkenaan sebelum kediaman tersebut dibangunkan.
Malah, katanya, laporan kerosakan harta benda akibat terkena bola golf yang diajukan penduduk juga hanya diminta supaya dirujuk kepada pihak insurans.
“Kami hanya meminta pihak pengurusan kelab golf berkenaan turut memikirkan soal keselamatan penduduk dan sekurang-kurangnya menaikkan semula jaring penghadang bola golf daripada menuju ke kediaman kami yang runtuh ketika kejadian banjir besar dua tahun lalu,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, penduduk kondominium berkenaan merayu pihak berwajib membantu mereka menyelesaikan masalah terbabit seterusnya dapat memastikan mereka hidup dalam keadaan tenang tanpa risiko dan ancaman keselamatan. – UTUSAN ONLINE










