MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera bersedia untuk terus kekal bersama kelab itu selepas kehadiran pengendali sementara Ole Gunnar Solskjaer berjaya memberi sinar baharu kepada The Red Devils.
Pemain berusia 29 tahun itu dilaporkan mahu menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun, sekali gus menyaksikannya kekal sehingga 2023 serta memperolehi pendapatan mingguan sebanyak £100,000 (RM531,490).
Herrera kembali disenaraikan dalam skuad utama United bersama-sama Paul Pogba dan Nemanja Matic selepas Solksjaer mengambil alih tugas sebagai pengendali di Old Trafford Disember lalu.
Pemain kebangsaan Sepanyol itu yang bakal menamatkan kontrak pada hujung musim itu hampir meninggalkan United selepas gagal dalam perbincangan kontrak baharu ketika di bawah kendalian Jose Mourinho.
“Ander hampir bersetuju untuk kekal selepas rundingan yang dibuat berjaya mendapatkan hasil yang positif.
“Kelab ini sudah membuat kenyataan yang jelas bahawa mahu Herrera terus kekal dan tidak mahu dia dilepaskan secara percuma.
“Dia memiliki keluarga yang sudah selesa berada di sini dan popularitinya dalam kalangan peminat juga sentiasa meningkat.
“Jumlah gaji yang dituntutnya tidak terlalu ketara dan perbincangan ini boleh dikatakan berjalan dengan lancar,” jelas sumber dari kelab berkenaan.
Herrera muncul sebagai salah seorang penjaring ketika United berjaya menewaskan Chelsea 2-0 pada aksi pusingan kelima Piala FA Isnin lalu.
Aksinya di padang sentiasa mendapat perhatian dan pujian daripada Solskjaer kebelakangan ini.
“Kekuatan dan kepantasannya sangat penting untuk pasukan ini. Itu antara faktor kenapa saya sering menyenaraikannya dalam kesebelasan utama,” ujar Solskjaer. – Agensi










