KUALA LUMPUR 22 Feb. – Pemansuhan bayaran tol lebuh raya di negara ini hanya akan membawa kepada krisis kewangan fiskal, menyebabkan cadangan itu sukar dilaksanakan.
Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pelbagai kos seperti kos operasi dan penyenggaraan diperlukan untuk menguruskan lebuh raya.

Katanya, kutipan tol yang dibuat selama ini telah menampung kos-kos terlibat untuk memastikan operasi lebuh raya dalam keadaan terkawal.
“Adakah logik semua benda di dunia ini diberi secara percuma? Tidak. Jadi apa yang relevan sekarang ini adalah pemberian subsidi tol bersasar.
“Kerajaan perlu mencari jalan untuk memberi pengecualian tol kepada yang benar-benar miskin, bukan kepada mereka yang memandu kereta mewah Mercedes Benz,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Ujar beliau, janji untuk memansuhkan tol perlu dilakukan dengan penuh bertanggungjawab dan bukan bersifat politik semata-mata.
Sementara itu, penganalisis di AllianceDBS Research, Chong Tjen San berpendapat tidak mungkin bagi kerajaan untuk melaksanakan expropriation clause dalam kontrak dengan pengendali tol kerana akan memerlukan sejumlah besar wang.
“Langkah sedemikian juga akan memberi kesan kepada pasaran bon domestik, menurut RAM Ratings, sektor lebuh raya bertol terdiri daripada 23 penerbit berjumlah RM52.83 bilion bon dan sukuk tertunggak.
“Adalah sukar untuk mengatakan sama ada syarikat konsesi tol menjadi bebas selama-lamanya, tetapi sekurang-kurangnya dalam jangka terdekat, ia bukan kebimbangan untuk mereka,” katanya.
Disember lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd Tahir berkata, hasil kajian mekanisme bagi mencapai matlamat pengurangan kadar dan pemansuhan tol lebuh raya di negara ini akan dibentang kepada Kabinet pada Mei 2019.
Beliau berkata, kajian mekanisme berkenaan akan dilaksanakan jururunding audit bebas bertauliah yang akan dilantik pada Januari 2019 bagi membantu kerajaan mencari mekanisme secara jangka pendek, sederhana dan panjang.











