CUNEO 18 Feb. – Kelab bawahan Serie C, Pro Piacenza mengalami detik paling memalukan dalam sejarah apabila tewas 0-20 kepada AC Cuneo dalam saingan liga, semalam.
Walaupun dijangka Piacenza akan kalah dalam perlawanan itu sudah diketahui namun tewas dengan jumlah yang sangat besar adalah sesuatu yang sama sekali tidak diduga.
Paling menyedihkan apabila pasukan tangga tercorot itu hanya beraksi dengan hanya tujuh pemain dengan kesemua mereka adalah pemain remaja.
Barisan pemain senior kelab itu bersama kakitangan teknikal mereka bertindak memboikot aksi liga kerana tidak dibayar gaji sejak September tahun lalu.
Piacenza berdepan krisis kewangan serius dengan mereka terpaksa memberikan kemenangan percuma 0-3 kepada beberapa pasukan sebelum ini termasuk Pro Vercelli, Juventus dan Siena.
Seandainya mereka tidak beraksi menentang AC Cueno, mereka akan disingkirkan daripada liga itu.
Bekas pertahanan Brescia dan Napoli, Fabiano Santacroce meluahkan kekecewaannya mengenai perkara itu dalam laman Instagram miliknya.
“Ada kalanya awak akan berdepan situasi seperti ini…mendahului 13-0 pada separuh masa pertama menentang pasukan yang beraksi dengan enam pemain berusia 17 tahun dan seorang eksekutif yang bermain di pertahanan tengah.
“Tiada perkataan yang boleh digambarkan. Saya malu dengan mereka yang tidak bertanggungjawab dalam isu ini,” katanya.
Piacenza berdepan masa depan tidak menentu dan kini mengutip lapan mata dan berada di kedudukan terbawah liga.
Mereka memiliki lima kemenangan dan satu keputusan seri tetapi mereka telah dipotong lapan mata dan akan berdepan lebih banyak pemotongan mata kerana masalah gaji tertunggak sejak September lalu.-AGENSI










