Hamper dan tawaran baiki PPRT sebelum PRK DUN Semenyih - Utusan Malaysia

Hamper dan tawaran baiki PPRT sebelum PRK DUN Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 22 Feb. – Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan pihaknya tidak membeli undi Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menerusi pemberian hamper dan tawaran bantuan baik pulih rumah penduduk di sini.

Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu telah diberikan lebih awal oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu sebelum PRK berlangsung.

Katanya, pihaknya telah diberi peringatan untuk mematuhi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya telah pun dapat kenyataan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang terlibat dengan perumahan rakyat miskin dan program-program itu telah dibuat sebelum pilihan raya. Jadi, ini tidak membabitkan PRK di mana mereka sudah setuju dan permohonan mereka sudah diterima lama, daripada kerajaan lama dahulu.

“Jadi, ia diputuskan dan dibuat sebelum pilihan raya. Oleh sebab itu, bukan satu pelanggaran. Kalau mereka (Pergerakan Pemuda UMNO) hendak buat report (laporan), buatlah. Saya sudah keluarkan arahan awal lagi, patuh arahan daripada SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Batu 3, Jalan Bangi di hari ini.

Turut hadir calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan, Mohd Zaidy Abdul Kadir membuat laporan polis atas dakwaan cubaan membeli undi di Semenyih oleh PH melalui pemberian hamper dan tawaran baik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 10 malam tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN