KUALA LUMPUR 20 Feb. – Jaringan Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-86 menghidupkan peluang Malaysia untuk ke separuh akhir Piala AFF bawah 22 tahun (B-22) selepas terikat 2-2 dengan Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium Nasional, Phnom Penh, hari ini.

Satu mata yang diraih dalam perlawanan itu cukup berharga buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dan kini mereka perlu menang dalam aksi terakhir menantang Myanmar, Jumaat ini bagi menentukan sama ada mereka layak atau tidak ke saingan empat pasukan terbaik.
Dalam aksi hari ini, skuad kendalian Kim Swee ketinggalan pada minit ke-52 apabila Marinus Wanewar meledak jaringan pembukaan buat skuad Indonesia namun Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya menyamakan semula kedudukan sembilan minit kemudian menerusi sepakan bebas cantik.
Skuad negara sekali lagi ketinggalan pada minit ke-76 apabila Witan Sulaeman menjaringkan gol kedua Indonesia namun Hadi Fayyadh yang juga penyerang kelab Fagiano Okayama menjadi penyelamat apabila berjaya menanduk masuk jaringan penyamaan ketika perlawanan berbaki empat minit untuk memastikan Malaysia meraih satu mata penting.
“Peluang untuk Malaysia ke separuh akhir masih ada.
“Selepas tewas 0-1 kepada Kemboja dalam aksi pembukaan, kami semua perlu sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan ini untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.
“Selepas ini kami perlu menang ke atas Myanmar dalam aksi terakhir untuk ke separuh akhir,” katanya.-UTUSAN ONLINE










