Gudang simpanan arak seludup diserbu - Utusan Malaysia

Gudang simpanan arak seludup diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Taktik licik sekumpulan penyeludup menjadikan sebuah gudang tanpa papan tanda di Kawasan Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang di sini sebagai tempat penyimpanan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan akhirnya terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa.

Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang itu dilakukan kira-kira pukul 6 petang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, serbuan tersebut adalah hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak dua minggu lalu tentang kegiatan di premis tidak bernombor itu.

Beliau berkata, sebelum serbuan dilakukan, pihaknya terlebih dahulu mengekori dan menahan sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras di sebuah kawasan di sekitar Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan di dalam lori tersebut telah menjumpai beberapa kotak dan botol minuman keras dipercayai dibawa masuk secara haram dan tidak dibayar cukai.

“Pemandu lori terbabit kemudian membawa kita ke gudang penyimpanan mereka di Pandamaran dengan didapati dua lelaki sedang memunggah minuman keras ke dalam lori lain,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairuddin berkata, ketiga-tiga suspek melibatkan pemandu lori dan dua penjaga stor itu berusia 30 hingga 40 tahun kemudiannya ditahan PPM.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas kira-kira 162 kartun dan 72 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM47,387 termasuk cukai.

“Selain itu, kita turut menyita dua buah lori jenis Isuzu dan Mitisubishi Fuso dianggarkan berharga RM150,000,”ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan dan belum lulus pemeriksaan kastam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×