Guan Eng minta jangan buat spekulasi - Utusan Malaysia

Guan Eng minta jangan buat spekulasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Rakyat diminta supaya ti­dak membuat spekulasi se­baliknya menunggu terlebih dahulu sama ada akan berlaku pengumuman penting mengenai bayaran tol lebuh raya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu buat masa ini, namun menyi­fatkan ‘pengumuman penting’ itu sebagai komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya umumkan ke? Adakah saya yang umum? Tunggu, masa itulah siapa umum. Saya tidak boleh mengatakan apa-apa sekarang, jadi tolong tunggu hingga tempoh tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa itu adalah komitmen kita dalam manifesto PH. Kita tidak lepas tangan. Kita hendak buat tapi masih berteru­san mengikut keupayaan kerajaan kerana semua tahu masalah kos melambung tinggi daripada yang munasabah,” ka­ta­nya.

Beliau yang juga Tim­­balan Presiden PH berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­nyaksikan Majlis Menandata­ngani Perjanjian Novosi Projek Transit Ali­ran Ringan 3 (LRT3) antara Prasarana, MRCB-George Kent Sdn. Bhd. (MRCB-GK) dan Kontraktor Pakej Kerja.

Semalam, rakan sejawatan Guan Eng dalam PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi­tahu, kerajaan akan membuat satu peng­umuman penting ber­kaitan kutipan tol lebuh raya dalam masa terdekat.

“Tol, kita baru bincang dalam Kabinet. Mungkin dalam sehari dua ini, ada statement (kenyata­an) berkaitan dengan tol.

“Saya tidak boleh nak cakap kerana biarlah menteri berkaitan yang buat pengumuman,” kata Muhyiddin sewaktu berucap dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Se­menyih di hadapan kira-kira 150 penduduk Batu 26 di Beranang, Hulu Langat, Selangor.

Dalam pada itu, apabila ditanya ada­kah kedudukan kewangan negara semakin baik hingga membolehkan kerajaan memansuhkan­ tol, Guan Eng berkata: “Kami sedang ber­usaha secara progresif tapi akan mengambil masa. Saya tidak kata seperti yang awak tanya, kita tunggu pengumumannya dan saya juga akan semak de­ngan Muhyiddin.

“Saya yakin ada pengumuman yang akan dibuat untuk menjelaskan perkara ini tapi hingga waktu tersebut tolong jangan membuat sebarang spekulasi.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×