Golden Lake Village pusat rekreasi pilihan baharu - Utusan Malaysia

Golden Lake Village pusat rekreasi pilihan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila berkunjung ke Kuala Selangor pastinya yang terbayang adalah makanan laut yang begitu popular di sini

Sajian makanan laut pastinya menjadi penarik bagi warga kota yang ingin lari daripada kesibukan dan pada masa sama menikmati mnakanan ala kampung di sini

Manakan tidak, apabila berada di sini pemandangan perkampungan nelayan menjadi salah satu aset penting daerah ini dengan jeti yang dipenuhi bot yang baru mendaratkan hasil tangkapan atauhendak turun ke laut.

Apa yang menarik, untuk Ke Kuala Selangor tidak begitu susah kerana boleh memilih banyak jalan sama ada lebuh raya atau jalan kampung dan semuanya menyajikan pemandangan menarik dan tidak terlalu sibuk.

Situasi ini pasti tidak ditemukan di tempat lain di Lembh Klang. Mereka yang rindu suasana kampung yang nyaman dan semula jadi wajar memilih Kuala Selangor sebagai destinasi pelancongan yang murah tetapi tetap memuaskan hati.

Justeru, ada kewajarannya apabila sebuah syarikat tempatan memanfaatkan aset semula jadi di Kuala Selangor dengan membangunkan Golden Lake Village (GLV) Landmark of Ijok yang menawarkan lebih daripada percutian serba santai.

Kebiasaannya destinasi percutian pilihan adalah taman tema air yang pastinya memakan kos agak tinggi, namun GLV merupakan lokasi baharu yang mampu memberikan pengalaman berbeza.

Dengan menawarkan harga berpatutan RM25 untuk dewasa, RM18 buat kanak-kanak berusia empat tahun ke atas, restoran yang dibuka bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi ini menyajikan pelbagai jenis makanan ala carte dan minuman kepada pelanggan selain turut menyediakan tempahan katering.

Bagi pelanggan yang gemar memancing pula, GLV adalah destinasi terbaik buat kaki pancing apabila kemudahan itu turut disediakan dengan dua pakej serendah RM30 beserta hadiah menarik.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Zein Isma Ismail, buat permulaan destinasi percutian ini dimulakan dengan pembukaan restoran steamboat dan tempat memancing selain terdapat kawasan melakukan aktiviti beriadah.

Dalam pada itu, tambah beliau, GLV juga menyediakan satu kawasan khas untuk tempat perkelahan mana-mana organisasi atau sektor korporat yang ingin mengadakan aktiviti riadah.

“Bukan itu sahaja, mana-mana syarikat yang ingin membuat sebarang kursus juga mempunyai tempat khas.

“Menariknya di GLV selain mengutamakan pelanggan, kami juga menyediakan perkhidmatan untuk penduduk setempat bagi majlis ilmu dengan menampilkan pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias selain bercadang membuat program wayang pacak,” ujarnya.

Bina kemudahan baharu

Dengan keluasan lebih dua hektar, GLV yang terletak di Jalan Kandar Ijok bertemakan flora dan fauna sesuai menjadi pusat rekreasi baharu terutama bagi seisi keluarga.

Memulakan operasi sejak 6 Januari lalu, GLV mempunyai beberapa fasa dan dimulakan dengan pembukaan restoran sajian steamboat dengan hidangan pelbagai jenis makanan laut yang pasti menjanjikan kepuasan.

Menceritakan lanjut, Zein Isma berkata, untuk perancangan masa hadapan, GLV akan membuka beberapa pusat peranginan berbentuk vila, calet dan inap desa (homestay) dilengkapi dengan kolam mandi.

“Buat permulaan kami tidak membina unit yang banyak iaitu dua unit vila manakala calet dan inap desa masing-masing satu unit.

“Selain itu kami juga dalam perancangan membina hotel bajet dan spa untuk pengunjung yang mempunyai tarikan dan kualiti tersendiri,” ujarnya.

Selain itu jelasnya, GLV juga menyediakan tempat acara yang merupakan kawasan berbentuk pulau seluas 6,000 kaki persegi khusus untuk majlis perkahwinan, majlis pertemuan semula (reunion), sambutan hari lahir dan hari keluarga.

“GLV merupakan satu tarikan yang penuh dengan keindahan flora dan fauna. Selain mengembalikan mercu tanda untuk Ijok, kami mahu GLV menjadi lokasi pilihan untuk masyarakat berkumpul dan meluangkan masa bersama-sama.

“Pengunjung tidak perlu risau kerana kami menyediakan pelbagai kemudahan antaranya surau dan bilik air selain mempunyai tapak permainan dan taman untuk beriadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN