Gol 'tangan' Hernandez bantu West Ham - Utusan Malaysia

Gol ‘tangan’ Hernandez bantu West Ham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 23 Feb. – Javier Hernandez meledak gol penyamaan kontroversi menggunakan tangan ketika membantu West Ham menumpaskan Fulham 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, hari ini.

Ketika Fulham sudah mendahului 1-0 menerusi rembatan awal Ryan Babel, Hernandez pada mulanya dilihat menanduk bola ketika menjaringkan gol penyamaan.

Bagaimanapun, ulang tayang video jelas menunjukkan bola sudah terkena tangan penyerang Mexico itu.

Pemain Fulham membantah jaringan tersebut tetapi tidak dilayani oleh pengadil perlawanan, Lee Mason.

Pengendali Fulham, Claudio Ranieri bagaimanapun tenang ketika ditanya tentang gol kontroversi itu apabila mengakui, Mason berada pada kedudukan sukar untuk melihat situasi sebenar.

“Mereka (West Ham) memang amat berbahaya apabila menerima sepakan penjuru kerana memiliki ramai pemain yang tinggi, dan dalam situasi begitu pandangan pengadil adalah terhad.

“Saya fikir, dia tidak nampak jaringan Chicharito (Hernandez) sudah terkena tangan kerana bola bergerak dengan terlalu pantas,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium London.

Begitupun, pengulas Sky Sports, Jamie Carragher percaya, situasi seperti itu sepatutnya boleh dikendalikan dengan lebih baik jika Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Dua lagi jaringan West Ham di London hari ini disempurnakan oleh Issa Diop dan Michail Antonio. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN