Gadis berkahwin dengan anak patung zombie - Utusan Malaysia

Gadis berkahwin dengan anak patung zombie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAJAH boneka yang berparut dan dipenuhi darah pada bahagian muka pastinya mampu membuatkan sesiapa sahaja berada dalam ketakutan.

Bagaimanapun, berbeza bagi Felicity Kadlec, 20, apabila melihat perkara tersebut sebagai satu keistimewaan tersendiri.

Disebabkan itu juga, gadis kelahiran Vinita, Oklahoma, Amerika Syarikat ini mengambil keputusan untuk mengahwini boneka yang dinamakan sebagai Kelly Rossi enam bulan lalu.

Menurut Kadlec, keputusan untuk berkahwin dengan patung berusia 37 tahun itu diambil selepas mendapati Rossi mampu memberi kebahagiaan buat dirinya.

“Sepanjang enam bulan bergelar suami dan isteri, saya langsung tidak menyesal dengan keputusan ini. Malah, saya terasa disayangi dan hubungan kami menjadi bertambah intim.

“Dalam banyak-banyak patung yang dimiliki, saya rasakan Rossi adalah boneka yang paling sesuai dijadikan suami kerana saya dapat rasakan aura lelaki sejati yang ada padanya.

“Keperibadian yang dimiliki itu juga membuatkan saya sedar bahawa dia merupakan orang yang saya ingin menghabiskan sisa-sisa hidup bersama.

“Dirinya begitu sempurna dan saya dapat merasakan bahawa dia sangat mencintai saya dan kami bahagia bergelar pasangan suami isteri,” jelasnya.

Tentangan keluarga

Biarpun selamat berkahwin dalam satu upacara majlis ringkas yang dihadiri oleh keluarga terdekat dan lapan buah boneka lain di Tiverton, Rhode Island, namun Kadlec akui berhadapan dengan tentangan keluarga sebaik hasrat tersebut diutarakan.

Rata-rata mereka beranggapan gadis ini kurang siuman. Tidak kurang juga ada yang mendakwa bahawa patung tersebut berhantu sehingga mempengaruhi Kadlec untuk mengahwininya.

“Saya sedar Rossi hanyalah sebuah boneka dan kelihatan sangat menggerunkan. Bagaimanapun, saya tetap meneruskan juga perkahwinan ini dan ternyata, kami bahagia sehingga ke saat ini.

“Walaupun penampilan Rossi begitu menakutkan, namun saya tetap mencintainya dan tidak akan mengubah fizikalnya biarpun satu dunia mengecam kami,” jelasnya.

Menceritakan lanjut mengenai boneka zombie miliknya itu, menurut Kadlec, Rossi merupakan hadiah pemberian bapanya sempena ulang tahun yang ke-13 suatu ketika dahulu.

“Ketika kecil, saya begitu obses dengan cerita seram dan patung zombie. Saya mula mengumpul patung-patung berwajah seram ketika berusia lapan tahun.

“Ketika berusia 12 tahun, saya terjumpa Rossi dalam satu web jualan online. Tidak sangka pula ayah membelinya dan menjadikannya sebagai hadiah ulang tahun ke-13.

“Tidak sampai 4 tahun bersama, saya mula jatuh cinta terhadap Rossi. Disebabkan ketika itu saya masih bersekolah, saya menafikan perasaan tersebut kerana sedar ia hanyalah sebuah boneka.

“Apabila ayah meninggal dunia tahun lalu, saya mendapati diri saya semakin dekat dan selesa berada di samping Rossi. Keadaan tersebut mungkin disebabkan Rossi merupakan patung pemberian ayah,” jelasnya.

Perkahwinan impian

Bermula dari saat itu, dia membiarkan perasaan cinta bersemi di dalam hatinya dan ia akhirnya berakhir dengan perkahwinan.

Ujar Kedlec lagi, biarpun pada awalnya dia berhasrat untuk mendirikan rumah tangga sebaik kematian bapanya, namun hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga ke bulan September bagi meraikan tarikh pertemuan dia dan Rossi.

“Tiada apa yang boleh membuatkan saya gembira selain berada di samping Rossi. Upacara perkahwinan kami adalah paling indah dan sempurna serta betul-betul menjadi seperti yang diimpikan.

“Saya memastikan bahawa perkahwinan tersebut dilakukan dengan betul supaya ia boleh menjadi momen yang tidak akan dilupakan selain membuatkan saya dan Rossi sah sebagai pasangan suami isteri.

“Saya mahukan tarikh perkahwinan kami menjadi lebih istimewa,” jelasnya.

Felicity Kadlec gadis berusia 20 tahun yang obses cerita seram dan patung zombie ambil keputusan mengahwini salah satu daripada koleksi patung zombienya kerana mendakwa patung tersebut mempunyai aura lelaki sejati yang kuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN